Friday, September 24, 2010

Haji.


Rasulullah SAW bersabda: "Barangsiapa yang ada mempunyai bekalan dan kenderaan yang boleh menyampaikannya ke Baitullah, tetapi ia tidak menunaikan haji (hingga ia mati dengan tidak ada keuzuran) maka tidak ada halangan baginya untuk mati sebagai Yahudi atau Nasrani, (dari segi seksanya) kerana Allah mewajibkan manusia mengerjakan ibadat haji (dengan) mengunjungi Baitullah iaitu sesiapa yang mampu dan berkuasa sampai kepadanya". (Riwayat Tarmizi dan Baihaqi)

Friday, July 30, 2010

Seruan Haji.

Dan serukanlah kepada umat manusia untuk mengerjakan ibadat haji, nescaya mereka akan datang (kerumah Tuhanmu) dengan berjalan kaki dan dengan menunggang berjenis-jenis unta yang kurus, yang datangnya dari berbagai jalan (ceruk rantau) yang jauh. (Surah alHajj: ayat27)

Wednesday, July 21, 2010

Rukun dan Wajib Haji.

Rukun haji 6 perkara
a. Niat
b. Wuquf
c. Tawaf Haji
d. Saie
e. Bercukur
f. Tertib

Wajib Haji 7 Perkara:
a. Berniat ihram di Miqat
b. Bermalam di Muzdalifah
c. Melontar jamrah aqabah di Mina pada 10 Zulhijjah
d. Bermalam di Mina - sekurang-kurang 2 malam, malam 11, 12, 13 Zulhijjah.
e. Melontar 3 jamrah sekurang kurangnya dua hari pada 11, 12, 13 Zulhijjah.
f. Meninggalkan larangan ihram
g. Tawaf wada (selamat tinggal)

Jenis jenis Haji.

  1. Haji jenis Ifrad
  2. Haji jenis Tamattu'
  3. Haji jenis Qiran
  4. Haji sahaja, dan
  5. Umrah sahaja

HAJI JENIS IFRAD
Ifrad maknanya " berasingan" jadi haji ifrad itu ialah mengerjakan haji dan umrah secara berasingan, iaitu dikerjakan haji dahulu hingga selesai dan kemudian baharulah dikerjakan umrah dalam tahun itu atau dikerjakan umrah sebelum menjelang bulan-bulan haji setelah itu barulah dikerjakan haji.

HAJI JENIS TAMATTU'
Tamattu' ertinya bersenang-senag, jadi Haji Tamattu' itu ialah mengerjakan umrah dahulu dalam bulan-bulan haji, setelah selesai mengerjakan umrah lalu bersenang-senang dengan sebab telah tidak terikat lagi dengan pantang larang ihram. Kemudian setelah sampai waktu haji berihramlah untuk mengerjakan haji pula. Haji jenis ini dikenakan DAM mengikut syarat-syaratnya.

HAJI JENIS QIRAN
Qiran ertinya bersama-sama, jadi Haji Qiran itu ialah dikerjakan kedua-dia haji dan umrah dengan serentak, iaitu dengan satu tawaf, satu sa'ie dan satu bergunting, kerana kerja-kerja umrah itu dimasukkan dalam kerja-kerja haji. Haji cara ini juga wajib melaksanakan DAM. Berhubung dengan kebolehan mengerjakan haji Qiran ini sabda Rasulullah s.a.w. yang bermaksud: Dari Ibnu Umar r.a. bahawa Rasulullah s.a.w bersabda :

"Sesiapa mengerjakan haji bersama umrah (iaitu Qiran) maka sahlah dia kerjakan satu tawaf dan satu sai'e sahaja untuk kedua-dua haji dan umrah itu" (Riwayat - Turmizi)

Rukun Umrah.

  1. Niat ihram mengerjakan umrah
  2. Tawaf
  3. Sai'e
  4. Bergunting atau bercukur
  5. Tertib

Rukun Haji.

  1. Niat ihram mengerjakan haji
  2. Wukuf di Arafah
  3. Tawaf di Kaabah
  4. Sa'ie di antara Bukit Safa dan Marwah
  5. Bergunting atau bercukur rambut
  6. Tertib pada kebanyakan rukunnya

Syarat wajib Haji dan Umrah.

Syarat-syarat wajib haji dan umrah itu adalah sama sahaja iaitu "

  • Islam
    - tidak wajib atas orang kafir dan murtad
  • Baligh
    - tidak wajib atas kanak-kanak tetapi sah hajinya dan tidak gugur wajibnya bila baligh
  • Berakal
    - tidak wajib atas orang gila dan jika dilakukan juga, tidak sah hajinya
  • Merdeka
    - Hamba abdi tidak diwajibkan, tetapi sah hajinya dan diberi pahala
  • Berkuasa / Kemampuan
    - Berhubung dengan berkuasa atau berkemampuan, ini ialah berdasarkan kepada Firman Allah S.W.T yang bermaksud:

" Dan menjadi kewajipanlah bagi manusia terhadap Allah untuk mengunjungi rumah itu bagi yang sanggup berjalan di antara mereka"
(Surah Ali Imran ayat 97)

Dalam masalah berkuasa atau berkemampuan untuk mengerjakan haji dan umrah ini adalah berkuasa kepada dua bahagian:-

a) Berkuasa atau berkemampuan dengan sendiri; dan

i) Berkuasa mengeluarkan belanja tambang dan segala perbelanjaan lain untuk melakukan pekerjaan haji dari mula hingga akhir.
ii) Mempunyai bekalan dan perbelanjaan yang cukup bagi saraan nafkah orang yang dibawah tanggungannya,
iii) Ada kenderaan pergi dan balik,
iv) Aman dalam perjalanan, yakni tidak ada marabahaya yang mengancam keselamatan diri dan harta. Ini termasuklah juga tidak ada penyakit yang membahayakan tubuh badan,
v) Sihat tubuh badan,
vi) Berkesempatan masa untuk mengerjakan haji dan umrah.

Sebagaimana Sabda Rasulullah s.a.w. yang bermaksud:-

"Dari Anas r.a. katanya: Rasulullah s.a.w ditanya " Apakah yang dimaksudkan dengan "sabil"? Rasulullah s.a.w. menjawab: " Bekalan dan perjalanan"
Riwayat- Daruqutni

b) Berkuasa dengan bantuan orang lain.

i) Orang yang mempunyai cukup syarat wajib haji, tetapi tidak dapat mengerjakan hajinya sendiri kerana keuzuran dan sakit yang tidak ada harapan akan sembuh, atau telah terlalu tua umurnya serta telah putus asa tidak dapat pergi sendiri menunaikan hajinya.

ii) Orang yang telah meninggal dunia yang berupaya semasa hidupnya, tetapi tidak mengerjakan haji, maka terhutanglah fardu haji atasnya sehingga warisnya atau orang yang menerima wasiatnya menunaikan hutang hajinya itu dengan upah atau secara sukarela.

Dalam masalah mengerjakan haji untuk orang lain atau upah haji ini, Rasulullah s.a.w yang bermaksud:

" Dari Laqit bin Amir r.a bahawa dia telah datang kepada Rasulullah s.a.w dan berkata: " Bahawa bapa saya seorang yang telah tua, tidak berdaya menunaikan haji dan umrah, dan tidak berkuasa mengikuti rombongan atau berjalan untuk mengerjakan haji atau umrah" Rasulullah s.a.w. bersabda : " Tunaikanlah haji untuk bapamu dan umrahnya sekali".
Riwayat - Abu Daud dan Tarmizi

SYARAT - SYARAT WAKIL ATAU ORANG MENGAMBIL UPAH HAJI

Syarat-syarat untuk menjadi wakil atau mengambil upah menunaikan haji orang lain ialah:-

  1. Orang itu telah pun menunaikan fardu haji untuk dirinya sendiri dengan sempurnanya, Sebagaimana Sabda Rasulullah s.a.w. yang bermaksud:- "Dari Ibnu Abbas r.a bahawa Rasulullah s.a.w mendengar seorang lelaki berkata ketika mengerjakan haji: " Aku sahut seruan mengerjakan haji menggantikan Syubrumah". Lalu Rasulullah s.a.w. bertanya kepadanya: "Sudahkah engkau mengerjakan haji untuk diri engkau sendiri" ? Jawab lelaki itu, "Belum". Rasulullah s.a.w berkata kepadanya, kalau begitu hendaklah engkau kerjakan haji untuk diri engkau sendiri dahulu, kemudian engkau kerjakan haji untuk Syubrumah pula" (Riwayat-Abu Daud dan Ibnu Majah)

  2. Hendaklah melakukan fardu haji untuk seorang sahaja bagi satu musim haji.

  3. Mestilah berihram pada miqat orang yang dihajikan itu atau pada tempat yang sama jauhnya dengan miqat itu. Jika ditentukan kepadanya, maka hendaklah dia berihram pada sesuatu miqat yang ditentukan, jika tidak ditentukan, maka haruslah bagi orang yang mengambil upah itu berihram pada miqat yang dilaluinya. Bagi orang yang berada di Mekah yang mengambil upah haji, maka wajiblah dia keluar kepada miqat yang dihajikannya, atau boleh juga pada mana-mana miqat yang lebih hampir kepadanya. Jika dia berihram daripada miqatnya (di Mekah) nescaya berdosa dan wajib atasnya dam.

  4. Hendaklah seorang yang cukup mahir bagi mengerjakan ibadat haji itu dengan sempurnanya, seperti dia mengerjakan haji untuk dirinya sendiri.